5 Perkara Hangat Tentang Vaksin COVID-19, Pernah Dengar Tak?
Sana-sini kita dengar, bincang dan baca pelbagai berita serta perkembangan berkaitan vaksin COVID-19. Antara yang menarik tentunya berita tentang Malaysia yang kini antara negara dengan kadar vaksinasi semasa terpantas di dunia! Woohoo!
Apa agaknya lagi perkara lain tentang vaksin yang sering disebut-sebut dan mengapa semuanya penting? Jom ketahui 5 perkara yang mungkin anda selalu dengar sejak kebelakangan ini:
1. ‘Vaksin COVID-19 belum diwajibkan untuk rakyat Malaysia’
Setakat ini, kerajaan Malaysia belum bercadang untuk mewajibkan suntikan vaksin kepada rakyat selaras dengan kebebasan program vaksinasi yang lain dalam dasar kesihatan awam.
Perkara itu dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menjelaskan seperti vaksinasi lain, tiada paksaan yang dikenakan dan vaksin perlu diambil secara sukarela.
Tetapi, kerajaan dalam pada itu masih menyokong dan menyeru orang ramai untuk mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi mencapai tahap imuniti berkelompok, seterusnya mengembalikan keyakinan dalam kalangan masyarakat untuk meneruskan aktiviti harian dengan sihat dan selamat.
2. ‘Semua vaksin COVID-19 terbukti berkesan’
Sebelum sesuatu vaksin diluluskan, vaksin tersebut perlu mencapai syarat minimum efikasi pada tahap 50 peratus seperti yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Walau bagaimanapun, perbandingan seperti ‘vaksin dengan efikasi yang lebih tinggi adalah lebih baik’ sama sekali tidak tepat.
Peratus efikasi merujuk kepada statistik ujian vaksin dalam keadaan terkawal seperti bilangan peserta, demografi peserta dan lokasi ujian dijalankan. Perbezaan atau variasi yang dalam ujian ini menjadikan peratus efikasi vaksin juga akan berbeza.
Peratus ini adalah lebih kepada satu penunjuk bahawa ia berpotensi dan boleh digunakan sebagai usaha untuk mendapat perlindungan daripada kesan jangkitan.
Dalam konteks Sinovac, Pfizer dan Astrazeneca, prestasi ketiga-tiga vaksin ini dilaporkan setara. Jadi, untuk kita bersikap memilih dalam mendapatkan vaksin COVID-19 apabila data yang ada telah pun membuktikan kesemuanya berprestasi cemerlang, adalah sangat tidak munasabah.
Pemilihan vaksin yang dibuat oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia tidak dibuat secara semberono. Nasihat dan pandangan dari pakar bidang telah diambil kira dan jelas semua vaksin dipilih terbukti selamat dan berkesan.
3. Sudah terima vaksin, tapi masih belum kebal tau’
Sebagai penerima vaksin, anda masih boleh dijangkiti, cuma kebarangkalian untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan adalah rendah berbanding individu yang tidak menerima vaksin.
Vaksin bukan untuk menghalang jangkitan, tetapi untuk memiliki sistem imunisasi yang kuat supaya sekiranya kita dijangkiti, gejala yang dialami tidaklah teruk.
Kebarangkalian penerima vaksin untuk memerlukan rawatan rapi di hospital hampir tiada, dan kebarangkalian pesakit meninggal dunia akibat dijangkiti COVID-19 juga berkurangan.
4. ‘Walau pun dah vaksin, anda masih boleh menjadi carrier.’
Tahap keberkesanan vaksin COVID-19 adalah tinggi, tetapi masih ada sekumpulan kecil penerima yang boleh dijangkiti COVID-19. Anda sebagai penerima juga masih berisiko untuk menjadi pembawa atau carrier kepada mereka yang belum divaksin. Kerana itulah, anda masih perlu mematuhi SOP yang ditetapkan seperti menjaga jarak, membasuh tangan secara kerap, menutup mulut ketika batuk atau bersin dan mengelakkan berada di kawasan dengan pengaliran udara yang terhad.
5. ‘Duduk di rumah 2-4 minggu selepas terima dos vaksin’
Perlindungan maksimum tidak dapat dicapai sehinggalah beberapa minggu setelah anda menerima dos vaksin yang lengkap. Jika anda adalah penerima dua dos vaksin, ini bermaksud anda perlu menunggu sehingga 2-4 minggu selepas penerimaan vaksin kedua untuk betul-betul mencapai perlindungan maksimum.
#LindungDiriLindungSemua #KitaJagaKita #DudukRumah #BantuFrontliner #CucukMyAZ #VaksinCOVID-19
Hashtag kreatif dan menarik mungkin sedikit sebanyak membuatkan kita tersenyum, tak kurang juga lebih bersemangat dalam perjuangan menentang COVID-19. Sama-sama kita bantu orang di sekeliling, rakan-rakan dah ahli keluarga untuk mendapatkan maklumat tentang vaksin dari sumber yang sahih dan nasihat pakar-pakar yang arif.
Kongsikan berita yang tepat, kalau tak pasti, semak dulu cepat-cepat.
Sumber rujukan artikel:
https://ourworldindata.org/covid-vaccinations
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/07/842940/tak-perlu-risau-jenama-semua-vaksin-sama-berkesan
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/844502/tidak-cadang-wajibkan-vaksin-covid-19-kj
Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 6 Ogos 2021.