Nak Dapatkan Pulangan Cukai Maksimum? Ikuti Panduan e-Filing 2025 (Tahun Taksiran 2024)

Kita sudah menghampiri hujung bulan April, dan ini bermakna tarikh akhir untuk kemaskini cukai pendapatan semakin dekat! Jangan risau… Sebenarnya, urusan cukai tidaklah begitu membebankan jika anda tahu cara untuk mendapatkan pulangan cukai maksimum!
Kebanyakan pelepasan cukai biasanya sama setiap tahun, tetapi terdapat beberapa perubahan yang mungkin bermanfaat buat anda. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui pelepasan cukai yang tersedia untuk tahun taksiran 2024.
Macam Mana Nak Daftar e-Filing?
Sebelum itu, semak dahulu sama ada anda perlu membayar cukai pendapatan. Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), anda perlu membayar cukai pendapatan jika anda memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM37,333 setahun atau lebih kurang RM3,111 sebulan, selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Cukup syarat minimum pendapatan? Daftar akaun e-Filing dalam tiga langkah:
Langkah 1: Daftar Nombor Pengenalan Cukai (TIN) di laman web MyTax. Klik pada e-Daftar, isi maklumat yang diperlukan dan hantar borang tersebut. Anda akan menerima TIN melalui e-mel dalam masa beberapa hari.
Langkah 2: Setelah menerima TIN anda, kembali ke laman web MyTax dan log masuk menggunakan TIN anda. Pilih Log Masuk Kali Pertama dan ikut langkah-langkah untuk mencipta ID anda.
Langkah 3: Pilih borang cukai yang berkenaan berdasarkan sumber pendapatan anda. Kebiasaannya, individu akan memilih antara dua borang berikut:
- Borang BE: Tiada sumber pendapatan perniagaan (bagi individu yang hanya bekerja makan gaji)
- Borang B: Mempunyai sumber pendapatan perniagaan (bagi individu yang berniaga, bekerja secara bebas (freelancing), atau mempunyai pendapatan tambahan)
Seterusnya, semak dan kemaskini maklumat peribadi, akaun bank dan maklumat pekerjaan anda. Di bahagian pengisytiharan pendapatan, salin maklumat dari Borang EA yang disediakan oleh majikan anda.
Tip Penting: Sekiranya anda mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan, dapatkan borang EA daripada semua majikan anda dan jumlahkan pendapatan serta potongan cukai yang berkaitan sebelum mengisi borang cukai pendapatan.
Maksimumkan Pulangan Cukai Anda: Tuntut Semua Pelepasan Cukai yang Layak
Untuk mendapat pulangan cukai maksimum, tuntut semua pelepasan cukai yang berkenaan yang disertakan dengan resit. Pelepasan ini akan mengurangkan jumlah pendapatan bercukai, sekali gus mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Berikut ialah senarai pelepasan yang tersedia untuk Tahun Taksiran 2024 beserta had tuntutan maksimum yang dibenarkan:
Individu, Pasangan dan Saudara Tanggungan
- Individu dan saudara tanggungan, RM9,000 – Ditolak secara automatik dalam borang cukai anda dan tidak perlu diisi secara manual
- Suami/Isteri kurang upaya, RM5,000
- Individu kurang upaya, RM6,000
- Suami/isteri atau bayaran alimoni kepada bekas isteri (terhad kepada RM4,000)
Kos Perubatan dan Keperluan Khas
- Rawatan dan kos perubatan, pergigian, keperluan khas, dan penjaga untuk ibu bapa sehingga RM8,000, termasuk pemeriksaan kesihatan penuh untuk ibu bapa, terhad kepada RM1,000
- Peralatan sokongan asas untuk kegunaan sendiri, suami/isteri, anak atau ibu bapa yang kurang upaya sehingga RM6,000
- Perbelanjaan perubatan untuk diri sendiri, pasangan atau anak sehingga RM10,000, terhad kepada:
- Rawatan penyakit serius
- Rawatan kesuburan
- Vaksinasi (terhad kepada RM1,000)
- Pemeriksaan dan rawatan gigi (terhad kepada RM1,000)
- Pemeriksaan kesihatan penuh, ujian COVID-19 (termasuk kit ujian RTK kendiri) serta pemeriksaan atau konsultasi kesihatan mental boleh dituntut sehingga RM1,000.
- Diagnosis, intervensi awal dan pemulihan untuk anak-anak dengan masalah pembelajaran (umur 18 dan ke bawah) sehingga RM4,000
Yuran Pengajian Sendiri
Jika anda telah mengikuti kursus untuk meningkatkan kemahiran diri anda, anda layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM7,000. Pelepasan ini merangkumi program Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD). Pelepasan ini juga terpakai untuk kursus yang diambil bagi tujuan meningkatkan kemahiran dan menambah nilai diri, terhad kepada RM2,000.
Pelepasan untuk Gaya Hidup bagi Individu, Pasangan atau Anak
Pelepasan sehingga RM 2,500 ditawarkan untuk gaya hidup diri sendiri, suami/isteri atau anak, merangkumi:
- Buku, jurnal, majalah atau langganan digital untuk bahan bacaan
- Komputer peribadi, komputer riba, tablet atau telefon pintar
- Peralatan sukan atau keahlian gim
- Bil langganan internet (atas nama sendiri)
Pelepasan Tambahan untuk Gaya Hidup bagi Individu, Pasangan atau Anak
- Peralatan sukan, keahlian gim, latihan sukan, sewaan atau bayaran masuk ke fasiliti sukan, serta yuran penyertaan pertandingan sukan boleh dituntut sehingga RM1,000
- Pembelian, pemasangan atau sewaan peralatan pengecas kenderaan elektrik (EV) untuk kegunaan peribadi pula layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM2,500
Tip Penting: Tuntut pelepasan bagi bil internet dan bahan bacaan di bawah kategori gaya hidup pertama, dan tuntut perbelanjaan sukan di bawah kategori sukan. Selain itu, memandangkan bahan bacaan mempunyai had pelepasan yang tinggi, ayuh membaca buku dengan kerap atau mula melanggan portal berita tahun ini!
Manfaat untuk Ibu Bapa
Pelbagai insentif untuk membantu ibu bapa ditawarkan termasuk perbelanjaan:
- Peralatan penyusuan untuk kegunaan sendiri bagi anak berumur 2 tahun dan ke bawah sehingga RM1,000 (Potongan dibenarkan sekali setiap DUA (2) tahun taksiran)
- Yuran penjagaan anak berumur 6 tahun di pusat jagaan harian atau tadika berdaftar sehingga RM3,000
- Simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga RM8,000
- Anak berumur 18 tahun ke bawah yang belum berkahwin – Pelepasan cukai sehingga RM2,000 ditawarkan
Nota: Jika ibu bapa mengisi cukai secara berasingan, hanya seorang ibu atau bapa dibenarkan membuat tuntutan untuk setiap anak
- Anak berumur 18 tahun ke atas yang masih belajar – Ibu bapa layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM2,000 bagi anak yang mengikuti kursus pra-universiti dan sehingga RM8,000 bagi anak yang mengikuti diploma atau kelayakan lebih tinggi di Malaysia atau ijazah sarjana muda atau kelayakan lebih tinggi di luar negara. Potongan ini hanya terpakai untuk kursus dan institusi yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
- Anak kurang upaya yang belum berkahwin – Ibu bapa layak menuntut pelepasan cukai sehingga RM6,000
- Anak kurang upaya yang berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan sedang melanjutkan pengajian peringkat diploma atau lebih tinggi di Malaysia, atau ijazah sarjana muda dan ke atas di luar negara – Ibu bapa boleh menuntut pelepasan cukai tambahan sebanyak RM8,000. Pelepasan ini terpakai untuk kursus dan institusi yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia
Kewangan – Insurans, Takaful dan Pelaburan
- Anda boleh menuntut pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk insurans nyawa, takaful keluarga atau caruman sukarela tambahan KWSP. Pesara kerajaan mempunyai had sehingga RM7,000 setahun tetapi tidak layak untuk potongan KWSP di bawah
- Caruman wajib atau sukarela KWSP atau skim lain yang diluluskan layak mendapat pelepasan sehingga RM4,000
- Caruman Skim Persaraan Swasta (PRS) dan anuiti tertunda layak untuk pelepasan cukai sehingga RM3,000
- Insurans atau takaful pendidikan dan perubatan untuk diri sendiri, pasangan atau anak mempunyai pelepasan sehingga RM3,000
- Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO/SOCSO) boleh dituntut sehingga RM350
Rebat
- Levi pelepasan (cukai/fi) bagi menunaikan umrah atau ibadah keagamaan lain yang diiktiraf layak mendapat rebat sehingga RM150 bagi setiap perjalanan, terhad kepada tuntutan sebanyak dua kali seumur hidup
- Selain itu, bayaran zakat atau fitrah juga boleh dituntut sepenuhnya sebagai rebat cukai
Jangan lupa untuk menyimpan semua resit pembelian dan dokumen berkaitan selama 7 tahun, sama ada dalam bentuk fizikal atau digital—untuk tujuan audit jika diperlukan oleh LHDN.
Tip Penting: Jika anda pernah membuat pembelian secara dalam talian, muat turun dan simpan resit sebagai bukti. Ini termasuk resit pembelian kit ujian RTK, buku, majalah atau peralatan sukan.

Bilakah Tarikh Akhir untuk Menghantar Borang Cukai Pendapatan?
Tarikh akhir penghantaran borang cukai pendapatan individu adalah seperti berikut:
Kategori | Penghantaran Secara Manual | Penghantaran Secara Dalam Talian (e-Filing) |
Individu pemastautin yang tiada sumber pendapatan perniagaan (Borang BE) | 30 April 2025 | 15 Mei 2025 |
Individu pemastautin yang mempunyai sumber pendapatan perniagaan (Borang B) | 30 Jun 2025 | 15 Julai 2025 |
Tip Akhir: Isi borang cukai anda seawal mungkin. Lagi awal anda hantar, lagi cepat anda dapat pulangan balik (jika ada). Lagipun, kalau anda tunggu sehingga saat akhir, anda mungkin terlepas peluang untuk menuntut pelepasan tertentu. Rugi kalau tersilap isi atau terlupa membuat tuntutan!
Pokoknya, cara terbaik untuk mendapatkan pulangan cukai maksimum adalah dengan membuat persediaan awal, menuntut semua pelepasan cukai yang berkenaan dan mengisi borang cukai tuntutan dengan teliti sebelum menghantarnya.
Maklumat yang terkandung dalam blog ini disediakan untuk tujuan maklumat sahaja. Ia tidak boleh dianggap sebagai nasihat mengenai mana-mana perkara. Etiqa tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang mungkin timbul akibat bergantung kepada maklumat yang terkandung dalam artikel ini. Maklumat ini adalah tepat pada 29 April 2025.
Sumber Rujukan:
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) (1, 2); RinggitPlus (1, 2)