·

Tekanan Darah, Gula, Suhu Badan – 4 Alat Untuk Pantau Kesihatan Anda Di Rumah

Bagaimana nak tahu jika tekanan darah anda normal atau tidak? Perlukah anda pergi berjumpa doktor untuk mengetahuinya?

Pada waktu ini, kebanyakan daripada kita semestinya ingin mengelakkan diri daripada keluar dari rumah, lebih-lebih lagi ke klinik atau hospital yang mungkin menyebabkan diri lebih terdedah dengan risiko COVID-19.

Tahukah anda bahawa terdapat pelbagai alatan perubatan mesra pengguna yang penting untuk anda sediakan di rumah?

Walaupun anda masih disarankan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan, alatan-alatan perubatan ini boleh membantu untuk anda membuat pemantauan sendiri dan mengesan sebarang petanda dengan lebih awal.

Berikut adalah senarai alatan perubatan yang anda patut sediakan di rumah:

1. Mesin memantau tekanan darah

Jika anda telah disahkan menghidap penyakit tekanan darah tinggi oleh pakar kesihatan, anda amat digalakkan untuk memiliki mesin untuk memantau tekanan darah di rumah. 

Dengan mesin ini, anda boleh mengawal pengambilan ubat dengan betul, memiliki maklumat tekanan darah yang lebih tepat untuk mengamalkan penjagaan yang lebih rapi. 

Mesin ini juga mudah digunakan kerana ia automatik dan boleh mendapatkan bacaan tekanan darah anda dengan cepat.

Cara membuat semakan tekanan darah:

  1. Ambil sedikit masa untuk bertenang.
  2. Pastikan anda duduk dengan tegak, bersandar dan selesa.
  3. Sarungkan cuff ke bahagian lengan.
  4. Pastikan anda masih boleh memasukkan satu jari di antara cuff dan lengan anda, supaya ia tidak terlalu ketat atau longgar.
  5. Tekan butang start pada mesin semakan tekanan darah.
  6. Catat bacaan yang tertera.

Panduan untuk bacaan tekanan darah normal atau tinggi:

Kategori tekanan darahBacaan Systolic mm Hg (SYS)dan/atauBacaan Diastolic mmg Hg (DIA)
NormalKurang dari 120danKurang dari 80
Tinggi dari biasa120-129danKurang dari 80
Tekanan darah tinggi Tahap 1 (Hypertension)130-139atau80-89
Tekanan darah tinggi Tahap 2(Hypertension)140 atau lebih tinggiatau90 atau lebih tinggi
Hypertensive Crisis (hubungi doktor dengan segera)Lebih tinggi dari 180dan/atauLebih tinggi dari 120

2. Glucometer untuk memantau bacaan gula dalam badan

Pemantauan bacaan gula dalam badan yang kerap adalah perkara yang paling penting untuk mengawal penyakit kencing manis pada tahap 1 atau 2.

Untuk melakukannya sendiri di rumah, anda memerlukan glucometer. Alat ini boleh mengukur bacaan kandungan gula dengan hanya setitik sampel darah, kebiasaannya diambil dari hujung jari. 

Cara-cara untuk menggunakan glucometer:

  1. Basuh tangan anda dengan bersih dan keringkan.
  2. Hidupkan glucometer dan masukkan strip ujian ke dalamnya. 
  3. Cucuk bahagian hujung jari anda dengan lanset (jarum) dan picit untuk keluarkan sedikit darah.
  4. Letakkan titisan darah di bahagian hujung strip ujian.
  5. Lap jari tadi menggunakan alcohol swab sambil menunggu bacaan glucometer.

Apabila anda mengetahui bacaan gula dalam badan, anda boleh mengetahui bila masanya untuk anda lebih berjaga-jaga dengan pengambilan makanan, ubat dan jadual aktiviti fizikal. 

KumpulanPesakit kencing manisWanita hamilDewasa biasa
WaktuSebelum makanSelepas makanSebelum makan1 jam selepas makan2 jam selepas makanSebelum makanSelepas makan
Bacaan gula normal4.4 – 7.04.4 – 8.5<5.3<7.8<6.74.0 – 5.9<7.8

Sebagai contoh, jika bacaan gula anda terlalu tinggi, anda boleh mengelakkan juadah-juadah manis, mengambil ubat yang sesuai dan membuat temu janji dengan pakar perubatan untuk pemantauan yang lebih terperinci.

Begitu juga apabila bacaan gula anda terlalu rendah, anda boleh segera mengambil ubat atau manisan seperti gula-gula atau coklat untuk mengelakkan berlakunya hipoglisemia yang lebih serius seperti sawan atau tidak sedarkan diri.

3. Termometer untuk memantau bacaan suhu badan

Termometer adalah alat yang pantas dan berkesan untuk menentukan sama ada anda demam atau tidak. 

Suhu badan normal: 36-37.5%

Suhu badan yang normal kebiasaannya lebih rendah pada waktu pagi dan meningkat pada siang hari. Tahap tertinggi akan tercapai pada lewat petang atau malam.

Suhu jika anda demam: 37.5% ke atas

Pesakit demam boleh dirawat di rumah dengan ubat-ubatan dan cecair yang membuatkan mereka lebih selesa. Tetapi, jika suhu badan mencecah 38.8°C ke atas dan rawatan di rumah tidak berkesan untuk meredakannya, anda perlu mendapatkan bantuan pakar dengan segera.

4. Oximeter untuk memantau bacaan kandungan oksigen dalam badan

Oximeter adalah antara alatan yang ‘terhangat di pasaran’ buat masa ini. Ini adalah selepas saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mempromosikan kempen ‘Satu Keluarga Satu Pulse Oximeter’ dalam usaha membendung gejala COVID-19.

Tanda bacaan Pulse Oximeter:

PemerhatianKepekatan Oksigen (SpO2) %Kadar Nadi (bpm)Suhu (°C )
Bacaan normal96%40 – 10036.5 – 37.5
Teruskan pemantauan di rumah95%101 – 10938
Dapatkan nasihat daripada doktor93-94%110 – 13038.1 – 39
Memerlukan nasihat perubatan segera – telefon 99992% atau kurang131 atau lebih39 atau lebih

Mengapa Peralatan Perubatan Di Rumah Itu Penting?

Alatan perubatan di rumah boleh menjadi penyelamat untuk anda membuat pemantauan, mendapatkan diagnosis, rawatan dan pemulihan yang selamat serta berkesan, sama ada bagi penyakit jangka pendek atau panjang. Dengan bantuan ahli keluarga atau penjaga yang terlatih, anda dapat mengelakkan diri daripada berulang-alik ke hospital dan juga kos rawatan yang mahal.

Bagaimana Nak Dapatkan Peralatan Perubatan Di Rumah?

Untuk mendapatkan alatan perubatan yang berdaftar, anda boleh berkunjung ke farmasi-farmasi yang berdekatan. Anda juga digalakkan untuk mendapatkan nasihat pakar perubatan sebelum membeli alatan perubatan sendiri, memastikan alatan tersebut tidak berbahaya dan sesuai dengan prestasi kesihatan anda.

Sumber rujukan:

https://www.heart.org/en/health-topics/high-blood-pressure/understanding-blood-pressure-readings

https://www.verywellhealth.com/how-to-use-a-glucometer-1087304

https://www.healthline.com/health/diabetes/how-to-lower-blood-sugar-quickly-emergency#best-ways

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hypoglycemia/symptoms-causes/syc-20373685

https://www.mkn.gov.my/web/ms/2020/10/30/pengambilan-suhu-yang-tepat/

https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/gp-umum-covid19/pulse-oximeter


Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 6 September 2021.