·

Perlindungan Kereta 101: Nilai Pasaran VS Nilai Yang Dipersetujui

Dalam topik insurans atau takaful kereta, anda mungkin ada terdengar istilah-istilah seperti market value (nilai pasaran) dan agreed value (nilai yang dipersetujui). Tetapi, tahukah anda apa perbezaannya? 

Kami ingin memastikan anda peka dengan setiap pilihan yang dibuat agar anda menerima perlindungan yang sewajarnya.

Nilai Pasaran

Nilai pasaran adalah nilai kereta anda mengikut harga semasa kenderaan tersebut di pasaran. Nilai ini juga bergantung kepada jenama, model dan tahun kereta anda dikeluarkan.

Contohnya, jika anda mengambil perlindungan sebanyak RM55,000 pada Januari 2021 mengikut nilai pasaran pada waktu itu dan kemudian membuat tuntutan kerugian menyeluruh pada November 2021, pembayaran balik yang diterima adalah kurang daripada RM55,000 kerana nilai kereta anda mungkin telah menyusut. Jumlah yang akan dibayar adalah berdasarkan nilai kereta anda pada waktu tuntutan dibuat pada November 2021.

Nilai Yang Dipersetujui

Nilai yang dipersetujui adalah jumlah tertentu yang dipersetujui di antara anda dan syarikat insurans atau pengendali takaful anda. Jumlah ini tidak akan berubah walaupun nilai kereta anda telah menyusut.

Sebagai contoh, anda bersetuju dengan jumlah RM55,000 pada Januari 2021 dan membuat tuntutan untuk jumlah kerugian menyeluruh pada bulan November 2021, anda masih akan menerima pampasan sebanyak RM55,000. Ini tidak berubah walaupun kereta anda bernilai lebih rendah pada masa tuntutan.

Saya Patut Pilih Yang Mana?

Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangannya sendiri. Setiap individu bebas memilih nilai mana yang bersesuaian dengan komitmen dan tahap risiko yang ingin ditanggung. Berdasarkan maklum balas pelanggan kami, kebanyakan mereka memilih ‘nilai yang dipersetujui’ untuk mendapatkan jumlah pampasan yang lebih baik walaupun premium / sumbangan lebih tinggi.

Jika anda sukar untuk membuat keputusan, dapatkan nasihat dari syarikat insurans atau pengendali takaful anda. Mereka boleh membekalkan pelan yang tepat mengikut keperluan anda.

Inginkan pelan yang terbaik untuk kereta anda? Jom singgah ke laman web Etiqa. Dapatkan sebut harga serta-merta dan pilih sendiri nilai yang diingini. Kalau nak tahu, permohonan pembaharuan boleh dibuat seawal 2 bulan sebelum perlindungan anda tamat tempoh. Barulah tak terjadi kes-kes last minute baru nak renew!


Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 11 Mei 2021