8 Faktor Yang Mempengaruhi Premium / Sumbangan Perlindungan Perubatan Anda
Tidak dapat dinafikan, kos perlindungan perubatan yang semakin meningkat saban tahun mendorong orang ramai untuk mendapatkan polisi / sijil perlindungan perubatan. Ada yang memilih polisi / sijil peribadi, dan tidak kurang juga yang mendapatkannya untuk ahli keluarga demi menjamin keselesaan kewangan pada saat-saat memerlukan.
Proses kelulusan permohonan perlindungan anda akan disaring mengikut profil kesihatan anda. Faktor-faktor inilah yang akan menentukan nilai premium / sumbangan yang perlu anda bayar kepada syarikat insurans / pengendali takaful.
Faktor Yang Mempengaruhi Premium / Sumbangan Perlindungan Perubatan
Setiap syarikat insurans / pengendali takaful mempunyai garis panduan tertentu dalam menentukan nilai premium / sumbangan. Berikut adalah antara 8 perkara yang akan dipertimbangkan bagi nilai premium / sumbangan perlindungan perubatan:
1. Umur
Lazimnya, syarikat insurans / pengendali takaful menggunakan panduan yang sama – semakin meningkat usia, semakin tinggi nilai premium / sumbangan. Risiko orang yang lebih tua untuk jatuh sakit adalah lebih tinggi berbanding golongan muda. Oleh itu, anda digalakkan untuk mengambil perlindungan komprehensif pada waktu muda bagi mendapatkan nilai premium / sumbangan pada kadar yang berpatutan.
2. Rekod perubatan terdahulu
Rekod perubatan masa lalu anda sangat penting dalam menentukan nilai premium / sumbangan. Jika anda mempunyai rekod menghidap penyakit atau mempunyai penyakit sedia ada, nilai premium / sumbangan anda akan lebih tinggi. Begitulah juga sebaliknya, jika anda tidak mempunyai sebarang penyakit dan memiliki kehidupan yang agak sihat, maka premium / sumbangan anda adalah pada kadar normal.
3. Pekerjaan
Jenis pekerjaan anda dan risiko yang dihadapi di tempat kerja akan mempengaruhi bayaran premium / sumbangan anda. Andai kata anda bekerja di sekolah, premium / sumbangan anda mungkin lebih rendah berbanding jika anda bekerja di persekitaran tapak pembinaan atau kilang; di mana risiko untuk mendapat kecederaan adalah lebih tinggi, maka jumlah premium / sumbangan juga akan lebih tinggi.
4. Tempoh polisi / sijil
Tempoh polisi / sijil anda memainkan peranan yang amat penting. Jika anda memilih polisi / sijil dengan tempoh yang lebih panjang, premium / sumbangan anda adalah lebih rendah berbanding tempoh perlindungan yang singkat.
5. BMI (Body Mass Index)
Kadar premium / sumbangan akan meningkat jika anda sebagai pelanggan mempunyai BMI yang tinggi. Mereka yang mempunyai BMI yang tinggi/melebihi paras normal berisiko besar untuk menghidap penyakit kritikal seperti sakit jantung, kencing manis, masalah pernafasan, darah tinggi, kanser dan lain-lain penyakit.
6. Merokok
Merokok akan meningkatkan risiko kesihatan, jadi syarikat insurans / pengendali takaful melihat perokok sebagai pelanggan yang berisiko tinggi akan menyumbang premium / sumbangan yang lebih tinggi. Jika anda adalah perokok, nilai premium / sumbangan anda adalah lebih tinggi berbanding mereka yang bukan perokok.
7. Lokasi geografi
Lokasi tempat tinggal anda turut mempengaruhi kos premium / sumbangan. Untuk lokasi tertentu, kadar premium / sumbangan adalah lebih tinggi disebabkan kekurangan pilihan makanan yang sihat, iklim dan isu-isu kesihatan di lokasi tersebut.
8. Jenis perlindungan
Bayaran premium / sumbangan berbeza mengikut perlindungan perubatan yang anda pilih. Polisi / sijil perlindungan berkumpulan mempunyai kadar premium / sumbangan yang lebih rendah berbanding polisi / sijil peribadi. Premium / sumbangan anda juga meningkat jika anda menambah perlindungan tambahan. Walau bagaimanapun, syarat-syarat polisi / sijil tetap berbeza mengikut syarikat insurans / pengendali takaful yang anda pilih.
Selepas mengenal pasti faktor-faktor ini, syarikat insurans / pengendali takaful anda akan menawarkan nilai premium / sumbangan yang bersesuaian dengan risiko anda sebagai pelanggan. Semak anggaran nilai premium / sumbangan anda dengan mendapatkan sebut harga dari Takaful e-Medical Pass atau Insurans e-Medical Pass Etiqa sekarang.
Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 14 Jun 2021.