Pelanggaran LRT: Detik Cemas Lebih 200 Penumpang

Gambar ihsan Twitter

Perjalanan pulang dari tempat kerja bertukar tragedi apabila beratus penumpang cedera akibat pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Kampung Baru, malam tadi.

Tren yang membawa lebih 200 penumpang itu dilaporkan bertembung dengan sebuah tren kosong yang dipercayai mengalami masalah teknikal.

Media sosial juga gempar dengan perkongsian gambar & video mangsa-mangsa di tempat kejadian. Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan mangsa pelanggaran LRT tersebut.

Mangsa tren LRT terpelanting akibat impak pelanggaran yang terlalu kuat

Sehingga kini, 6 mangsa dilaporkan kritikal dan 3 di antara mereka memerlukan bantuan pernafasan. Seramai 65 penumpang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dirawat.

Salah seorang penumpang menceritakan detik cemas ketika pelanggaran LRT itu berlaku.

Saya terdengar bunyi yang sangat kuat sebelum tercampak beberapa meter dari tempat saya berdiri.

R. Anand Raj, 33 tahun.

Mangsa berkata, tren tersebut pada mulanya berhenti selama lebih 10 minit di stesen KLCC sebelum meneruskan perjalanan.

Kurang dari 10 saat selepas tren itu berlepas, pelanggaran itu berlaku dan keadaan terus bertukar panik dengan penumpang yang cedera berlumuran darah.

Paramedics attending to the injured passengers before they were taken to the hospital. -- Pix: Bernama

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mangsa terlibat terdiri 36 wanita dan 29 lelaki.

Kesal dengan kejadian yang berlaku, pihak RapidKL dalam kenyataan media menyebut untuk terus memantau perkembangan penumpang yang terlibat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa

Mereka turut memberitahu bahawa perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga (3) hari, setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai.

Jika anda adalah penumpang atau mangsa kemalangan yang melibatkan perkhidmatan awam, anda boleh membuat semakan dengan syarikat insurans/pengendali takaful untuk membuat sebarang tuntutan kos perubatan di bawah polisi/sijil perubatan dan pelan kemalangan anda.


Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 25 Mei 2021