Kemalangan Kereta – 5 Langkah Pertama Anda
Sama ada anda mangsa atau penyebab kemalangan, terdapat langkah-langkah penting yang perlu diambil dengan segera jika kemalangan kereta berlaku.
Panduan ini bertujuan untuk memastikan anda tidak panik dan lebih bersedia jika terlibat dalam kemalangan. Ia juga dapat memudahkan kerja polis serta melancarkan proses tuntutan insurans atau takaful kereta anda.
Tetapi sayang sekali, masih ramai yang memilih untuk menyelesaikan kemalangan kereta dengan cara sendiri tanpa berfikir panjang. Sesetengah pihak memilih untuk ‘setel tepi’ atau ‘kautim’ dengan pihak yang lain atas sebab-sebab tertentu seperti:
- Takut untuk mengambil tindakan kerana memandu tanpa lesen
- Bukan pemilik kereta yang dipandu (Contoh: Kereta abah, isteri atau kawan)
- Diugut oleh pihak ketiga yang dilanggar atau melanggar kereta
Jangan panik, jangan takut. Apa jua situasi anda ketika kemalangan berlaku dan sama ada anda salah atau tidak, 5 langkah pantas ini amat penting untuk dibuat.
1. Ambil gambar bukti kemalangan kereta
(!) Penting untuk membantu menyokong laporan polis dan tuntutan insurans atau takaful anda
Pastikan gambar anda jelas dan sertakan sekali maklumat berikut:
- Nombor plat kereta pihak ketiga
- Warna, model & tahun kenderaan pihak ketiga
- Lesen memandu pihak ketiga
- Gambar kerosakan yang dialami
Anda juga disarankan untuk mengambil gambar situasi sekeliling tempat kemalangan seperti keadaan jalan, papan tanda atau lampu isyarat yang mungkin menyumbang kepada kemalangan tersebut. Jika ada, sertakan juga rakaman dash cam kereta anda atau kereta saksi untuk menyokong laporan polis dan tuntutan insurans atau takaful anda.
2. Ambil nombor telefon pihak ketiga dan saksi
Anda mungkin tercedera, tidak mampu atau berani untuk keluar dari kereta.
Dapatkan nombor telefon orang yang mula-mula sekali membantu anda. Individu ini mungkin Saksi Bebas yang berada di tempat kejadian dan dapat membantu menyokong keterangan anda kepada pihak polis semasa membuat laporan. Anda juga boleh mendapatkan nombor plat kenderaan mereka jika mereka bersetuju. Maklumat ini mungkin diperlukan sekiranya kes kemalangan menjadi lebih rumit atau terdapat pertikaian dengan pihak ketiga.
Jika keadaan lebih terkawal dan pihak ketiga memberikan kerjasama yang baik, bolehlah anda saling bertukar nombor telefon. Ini untuk melancarkan proses membuat laporan dan tuntutan insurans atau takaful, sekiranya maklumat terperinci diperlukan.
3. Hubungi pihak insurans atau takaful kereta anda
Jika kereta anda rosak teruk dan memerlukan bantuan tow truck, cepat-cepat hubungi pihak insurans atau takaful kereta anda.
☎️ Talian bantuan 24 jam Etiqa: 1-800-88-6491 ☎️
Elakkan daripada menggunakan perkhidmatan tow truck yang tidak dikenali dan ‘kebetulan’ berada di kawasan kemalangan kereta. Dalam keadaan terdesak, anda mungkin akan dikenakan caj yang mahal.
Di Etiqa, kami menyediakan khidmat tunda kereta PERCUMA untuk jarak sejauh 200km. Ketahui lebih lanjut tentang manfaat perlindungan kereta Etiqa.
Selain menghubungi pihak insurans atau takaful anda, pastikan anda menyimpan nombor hotline bantuan kecemasan lain seperti PLUSRonda (jika kemalangan berlaku di lebuh raya). Ini dapat membantu mempercepat proses bantuan jika perkhidmatan tunda kereta memerlukan lebih masa untuk tiba. Catat nama dan butiran perkhidmatan tunda tersebut untuk memastikan keselamatan kereta anda.
4. Segera ke hospital jika tercedera
Jangan tunggu atau pulang ke rumah terlebih dahulu. Segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital berdekatan.
Pastikan anda menyimpan semua rekod perubatan sebagai bukti kecederaan dan kos rawatan untuk tuntutan insurans atau takaful. Dapatkan rawatan dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan bagi mengelakkan sebarang keraguan atau pertikaian berkenaan kecederaan yang dialami.
5. WAJIB buat laporan polis
Walaupun anda bersalah…
Apabila anda ditimpa kemalangan dan cedera, buatlah laporan polis dalam tempoh 24 jam bersama-sama pihak ketiga untuk proses yang lebih pantas.
Jika cedera parah, dapatkan bantuan ahli keluarga untuk membuat laporan supaya pihak polis boleh memulakan siasatan secepat mungkin.
Sudah tentu, tanpa lesen memandu yang sah, anda akan tetap disaman. Walau bagaimanapun, kecederaan anda masih layak dilindungi mengikut undang-undang dan polisi insurans atau sijil takaful kereta yang dipandu.*
Di Etiqa, kami melindungi kereta tanpa mengira pemandu. Yang penting, pemilik kenderaan telah memberi kebenaran memandu kepada pemandu tersebut.
Tanpa laporan polis, pihak insurans atau takaful juga tidak dapat bertanggungjawab atas kemalangan dan kecederaan yang dihadapi.
*Tertakluk pada terma dan syarat.
Buat pelanggan insurans atau takaful kereta Etiqa, muat turun aplikasi Etiqa+ melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery sekarang untuk membuat tuntutan insurans atau takaful dengan mudah dan pantas.
Manfaat-manfaat yang dibayar di bawah produk yang layak dilindungi oleh PIDM sehingga had perlindungan. Sila rujuk Brosur Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans PIDM atau hubungi Etiqa General Takaful Berhad atau PIDM (layari www.pidm.gov.my) I Ahli PIDM
Maklumat yang terdapat dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggungjawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 25 Oktober 2024.