·

6 Faktor Pengaruhi Harga Insurans Kereta (Premium)

Insurans kereta adalah antara komitmen utama sebagai pemilik kereta. Harga insurans kereta atau juga dikenali sebagai premium akan berbeza mengikut nilai perlindungan yang anda ambil. Selain jenis polisi insurans atau perlindungan tambahan yang dipilih, premium insurans kereta anda juga turut dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti berikut:

1. Usia kereta anda

Harga premium insurans kereta anda berkait rapat dengan tahun pengeluaran kereta tersebut. Contohnya, premium insurans kereta bagi kereta keluaran tahun 2020 adalah lebih mahal berbanding kereta keluaran tahun 2015.

Pendek kata, harga insurans kereta lama lebih murah berbanding kereta baharu.

2. Harga insurans mengikut kapasiti enjin kereta

‘Enjin 1.0L je? Boleh panjat Genting ke ni?’

Kapasiti atau kuasa enjin kereta anda akan menentukan harga premium yang perlu dibayar. Semakin tinggi kapasiti enjin kereta anda, semakin tinggi harga premium insurans kereta yang perlu anda bayar.

3. Jumlah perlindungan kereta: nilai pasaran vs nilai yang dipersetujui

Harga premium insurans kereta anda turut dipengaruhi oleh nilai pasaran atau nilai yang dipersetujui bagi kereta anda.

Contohnya, anda memilih perlindungan berdasarkan nilai pasaran. Kita sedia maklum bahawa harga pasaran sesebuah kereta menurun dari tahun ke tahun. 

Nilai pasaran menurun > Jumlah perlindungan berkurangan > Harga insurans lebih murah.

Berbeza pula jika anda memilih perlindungan mengikut nilai yang dipersetujui kerana nilai perlindungan ini ditetapkan pada tarikh polisi berkuatkuasa dan tidak dipengaruhi oleh penurunan nilai pasaran kereta anda selepas tarikh tersebut.

Jumlah perlindungan tetap = Harga insurans kereta (premium) tidak berubah.

Ketahui lebih lanjut tentang perbezaan nilai pasaran dan nilai yang dipersetujui

4. Jenis insurans kereta pengaruhi harga insurans

Jenis insurans kenderaan yang diambil memainkan peranan besar bagi penentuan premium kereta anda. Ini turut bergantung kepada keperluan dan bajet anda sebagai pemilik kereta – sama ada anda inginkan Insurans Komprehensif atau Insurans Pihak Ketiga.

Insurans Pihak KetigaInsurans Komprehensif
Melindungi kemusnahan / kerosakan pada kenderaan lain jika kemalangan berlaku disebabkan kesalahan anda.
Kerosakan pada kereta anda tidak dilindungi.
Melindungi kerosakan / kemusnahan kepada kedua-dua kenderaan – milik pihak ketiga & anda. 
Kereta anda juga dilindungi dari kecurian dan kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam.

Berdasarkan perbandingan ini, anda mungkin perlu membayar premium yang lebih tinggi bagi Insurans Komprehensif kerana liputan perlindungannya yang lebih luas.

5. Harga insurans berdasarkan lokasi

Kebiasaannya, harga premium insurans kereta di Semenanjung adalah lebih tinggi berbanding harga insurans kereta di Sabah dan Sarawak. Ini adalah disebabkan oleh nilai pasaran kereta dan penilaian risiko yang lebih tinggi di Semenanjung Malaysia berbanding di Sabah dan Sarawak.

Contohnya, di Semenanjung mempunyai jumlah trafik kenderaan yang lebih tinggi = risiko kemalangan lebih tinggi = premium juga menjadi lebih tinggi.

6. Diskaun tanpa tuntutan (No Claim Discount / NCD)

Lebih tinggi diskaun (NCD), lebih murah harga insurans kereta. Itu kita tahu, tetapi apa yang menjadikannya berbeza setiap tahun?

Kadar diskaun akan meningkat setiap tahun pada 5 tahun yang pertama – HANYA jika tiada sebarang tuntutan ganti rugi dibuat kepada syarikat insurans sepanjang tempoh pemilikan.

Kadar NCD pula berbeza mengikut kelas kenderaan. Berikut adalah contoh bagi kereta persendirian:

Tiada tuntutan dibuat pada 12 bulan pertama: Anda layak menerima diskaun sehingga 25% pada tahun ke-2.

Tahun ke-3: 30%

Tahun ke-4: 38.33%

Tahun ke-5: 44%

Tahun ke-6 dan seterusnya: 55%

Tiada peningkatan diskaun pada tahun ke-6 dan seterusnya.

Lihat perbandingan kadar bayaran untuk dua model kereta yang sama dengan kadar NCD berbeza seperti di bawah:

Situasi A

Nilai Pasaran Semasa Kereta: RM40,000

Nilai NCD yang ditawarkan: 25%

Jumlah perlu dibayar (premium): RM938

Situasi B

Nilai Pasaran Semasa Kereta: RM40,000

Nilai NCD yang ditawarkan: 55%

Jumlah perlu dibayar (premium): RM368

Terbaru! Dalam keadaan pandemik semasa, pemanduan anda mungkin terbatas. Dapatkan pemulangan tunai bagi premium insurans kereta anda sehingga 30% setahun dengan manfaat tambahan ‘Pandu Kurang, Lebih Jimat’ bersama Etiqa. Ini adalah manfaat tambahan PERCUMA apabila anda melanggan atau memperbaharui insurans kereta bersama Etiqa. 

Lebih jarang anda memandu, lebih tinggi pemulangan tunai yang bakal diterima. Perbaharui insurans kereta anda di Etiqa hari ini!


Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 5 Julai 2021.