·

Alat Pemadam Api (APA) & Pengurusan Waranti Perniagaan

Baca artikel Bahasa Inggeris di sini.

Alat Pemadam Api yang diurus dan dikawal selia dengan baik dapat melancarkan proses tuntutan kebakaran.

Tahukah anda? Setiap alatan yang dikategorikan sebagai Alat Pemadam Api ini mempunyai waranti yang perlu diuruskan dengan teliti bagi memastikan anda melalui proses tuntutan kebakaran dengan lancar.

Berikut adalah antara perkara-perkara penting lain yang perlu anda ketahui.

Apakah itu Alat Pemadam Api (APA)?

APA adalah kesemua peralatan berkaitan kebakaran berdasarkan senarai yang dimaklumkan oleh syarikat insurans anda.

Antara peralatan yang disenaraikan adalah seperti:

  • alat pemadam api mudah alih
  • gelung hos hidraulik
  • sesalur pancur kering basah
  • sistem perenjis air
  • sistem penggera & pengesan kebakaran
  • sistem pemadam gas.

Tentang Waranti APA

Rujuk jadual yang tercatat di dalam polisi kebakaran anda. 

Mengikut waranti APA yang tertakluk di dalam polisi insurans anda, setiap peralatan ini perlu diperiksa dan diselenggarakan mengikut jadual yang telah ditetapkan untuk memastikan ianya berada dalam keadaan baik.

Dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan, kedua-dua pihak (anda dan syarikat insurans) pastinya lebih yakin apabila kesemua APA disahkan berada dalam keadaan baik, seterusnya mengelakkan anda daripada risiko pelanggaran kontrak terhadap syarat-syarat yang tercatat di dalam polisi.

Kesan Jika Anda Mengabaikan Piawaian Waranti APA

Anda mungkin mengalami kesukaran ketika membuat tuntutan kebakaran.

Sekiranya anda sebagai pihak yang diinsuranskan gagal menjaga peralatan mengikut piawaian waranti APA, permohonan anda untuk membuat tuntutan kebakaran mungkin akan ditolak. Ketika berlakunya kecemasan akibat kebakaran, APA yang tidak diselenggarakan dengan baik boleh menyebabkan kelewatan dalam mengawal api yang marak, lantas mengakibatkan kerosakan teruk yang mungkin tidak dapat dilindungi di bawah polisi insurans anda.

Siapakah Yang Perlu Menyelenggara Alat Pemadam Api?

Aktiviti penyelenggaraan akan memerlukan khidmat pakar, tetapi pemeriksaan sendiri turut boleh dilakukan.

Pemeriksaan setiap minggu diperlukan bagi kesemua APA di premis anda. Ini adalah untuk memastikan alatan-alatan ini berfungsi dan menepati jadual penyelenggaraan yang ditetapkan. Aktiviti penyelenggaraan mungkin memerlukan khidmat pakar, walau bagaimanapun anda masih boleh melakukan pemeriksaan sendiri untuk menentukan sama ada APA tersebut berada dalam keadaan yang baik.

Cara yang lebih efisien adalah dengan mewujudkan pasukan keselamatan kebakaran di premis anda untuk menyediakan senarai semak dan laporan bagi setiap peralatan ini tersebut.

Bagaimana Cara Untuk Memeriksa APA?

Setiap APA memiliki garis panduan tertentu mengikut peraturan kebakaran & keselamatan. Persediaan rapi seperti membuat senarai alatan boleh memudahkan pengurusan dalam memastikan waranti APA anda sentiasa dilindungi. Ketika membuat pemeriksaan, anda perlu memastikan alatan-alatan ini berfungsi, mengetahui lokasi-lokasi peralatan ini diletakkan, kawasan mana yang dilindungi dan lain-lain yang berkenaan.

Contohnya, alat pemadam api biasa perlu diperiksa setiap minggu dan diselenggarakan oleh pakar pada setiap tahun. Semasa membuat pemeriksaan, pastikan peralatan tersebut 1) boleh digunakan dengan baik 2) diletakkan di tempat yang sesuai.

Alat ini mestilah berada di kawasan yang mudah dilihat, diambil dan disertakan dengan sijil pengesahan dari pihak BOMBA. Jika alat ini diletakkan di dalam kabinet, pastikan kabinet tersebut tidak dikunci dan boleh diakses tanpa sebarang halangan.

Bilakah aktiviti penyelenggaraan APA perlu dilakukan?

Kekerapan yang dicadangkan adalah pada setiap tahun.

Terutamanya di musim pandemik yang masih belum reda ketika ini, ramai pemilik premis mungkin terlepas pandang akan peraturan kebakaran dan keperluan untuk menyelenggara APA mereka. Sekali lagi diingatkan, sebarang kecuaian dalam menepati piawaian waranti APA mungkin akan menyebabkan proses tuntutan kebakaran anda terganggu. Aktiviti penyelenggaraan APA di premis anda masih perlu diutamakan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Akhir kata, pastikan anda sentiasa peka dengan tanggungjawab sebagai pemilik sesebuah premis untuk melindungi aset anda sekiranya berlakunya kebakaran.