Bersukan di musim hujan. ‘SOP’ untuk kekal sihat & selamat
Pagi musim hujan, anda sambung tidur.
Petang musim hujan, aktiviti sihat pun terkubur…
Musim hujan bukan penghalang untuk anda bersukan dan kekal aktif. Jangan biarkan diet anda terus bercelaru atau semangat kesukanan anda layu.
Sebelum badan mula rasa tepu dan tidak berdaya, ikuti SOP ini untuk bantu anda bangkit semula.
Kekalkan momentum dengan aktiviti bersukan yang selamat dan tidak mengenal musim.
Jika tidak, sudah tentunya pergerakan anda akan sentiasa terbatas setiap kali tibanya musim hujan, peralihan angin monsun atau ribut.
Langkah ini amat penting sebagai backup plan di saat anda masih berkobar-kobar untuk meneruskan gaya hidup sihat. Bayangkan konvoi berbasikal ke Puncak Alam semakin kerap dibatalkan pada saat-saat akhir akibat hujan? Apa pelan anda untuk memastikan anda tidak tarik selimut dan tidur semula?
SOP mudah di bawah boleh membantu anda.
#1. Hadkan masa untuk bersukan di luar
Jangan terus tak keluar, nanti berhabuk basikal/kasut sukan.
Jika sebelum ini anda berbasikal sehingga 4-5 jam sehari, pendekkan masa ke 1-2 jam untuk perjalanan pergi dan balik. Sama juga seperti berjogging, 30 minit sehari sudah memadai untuk anda melepaskan gian beriadah. Pantau corak jadual hujan turun di kawasan anda, dan rancang waktu anda sebaiknya.
#2. Gantikan dengan sukan di ruang berbumbung
Hujan atau tidak, tak ada sebab untuk dibatalkan.
Masa untuk cuba aktiviti baru atau yang hampir serupa. Jika selalu bermain bola padang, boleh bertukar ke futsal. Sertai geng-geng baharu di gelanggang badminton atau berkunjung ke pusat riadah indoor seperti Escape Park, Air Rider, Jumpstreet atau kelas berbasikal flycycle!
#3. Hindari, elakkan diri, jauhi aktiviti akuatik di luar
Fenomena air pasang, kepala air, banjir, ribut. Terlalu berisiko dan tidak berbaloi.
Senarai hitamkan aktiviti yang melibatkan lokasi-lokasi di bawah:
- Air terjun
- Sungai
- Paya
- Lombong
- Terusan
- Tasik
- Laut
- Taman tema air
Anda masih boleh memilih alternatif kolam renang tertutup, tidak kurang juga pusat membeli-belah yang menawarkan aktiviti sukan air. Ada bajet lebih? Kini terdapat pelbagai jenis kolam mudah alih yang sesuai untuk kanak-kanak dan juga dewasa.
Dapatlah anak-anak berenang sementara tunggu musim hujan tamat!
Memang badan rasa berat nak bangun dari katil ketika musim hujan, tetapi lagi berat kalau badan terus mengembang kan? Ikuti SOP mudah di atas untuk pastikan anda terus sihat dan ceria walaupun awan mendung berarak sepanjang hari.