· ·

Myvi block kereta penjenayah: Boleh Tuntut Insurans / Takaful Atau Tidak?

Polis tembak kenderaan, pemandu dipercayai bertindak ganas
Sumber foto dari Facebook @inforoadblockjpjpolis

Penjenayah berjaya diberkas. 

Kereta Myvi yang dilanggar macam mana?

Video tular di media sosial pada 26 Feb 2020 apabila sebuah kereta Waja cuba meloloskan diri daripada pihak polis dengan menghimpit kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.

Dari video tersebut, dapat dilihat kenderaan penjenayah itu masih enggan menyerah diri walaupun tersepit di belakang sebuah lori dan Myvi. Anggota polis turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta penjenayah yang terus-menerus melanggar kenderaan di hadapan.

Penjenayah itu berjaya melepaskan diri tetapi dapat diberkas semula oleh pihak polis.

Rata-rata komen netizen memuji keberanian pemandu Myvi yang tidak berganjak dari tempat kejadian untuk menghalang penjenayah tersebut. Rosak teruk juga la dan pastinya kos untuk repair kereta agak mahal.

Jadi persoalan netizen,

  1. Adakah pemilik kenderaan Myvi tadi boleh membuat sebarang tuntutan insurans / takaful?
  2. Adakah NCD (No Claim Discount) pemilik Myvi akan ditolak?
  3. Berapakah nilai tuntutan yang boleh dibuat?

Tuntutan Knock-For-Knock Own Damage (KFK-OD)

Pemilik Myvi tersebut boleh membuat tuntutan bagi kerosakan yang dialami menerusi tuntutan Knock-For-Knock Own Damage (KFK-OD) dari syarikat insurans / pengendali takaful yang melindungi kenderaan Myvi tersebut.

Tuntutan KFK-OD ini boleh dibuat jika kemalangan yang berlaku bukan atas kesalahan anda sebagai pemilik kenderaan dan pihak yang melanggar kenderaan anda mempunyai perlindungan insurans / takaful yang masih aktif.

Nilai NCD tidak ditolak

Menerusi tuntutan ini, pemandu Myvi tersebut boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans / pengendali takaful sendiri tanpa nilai NCD kenderaannya ditolak.

Pemandu Myvi tersebut perlu memastikan bahawa:

  1. Perlindungan insurans / takaful bagi kenderaannya masih sah dan aktif ketika kemalangan berlaku.
  2. Membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas kemalangan berlaku.
  3. Menghubungi pihak insurans / takaful dalam tempoh 14 hari dari tarikh kemalangan.

Jumlah tuntutan yang layak diterima

Nilai tuntutan yang boleh dibuat adalah berdasarkan jumlah perlindungan yang diambil, sama ada mengikut Nilai Yang Dipersetujui (Agreed Value) atau Nilai Pasaran (Market Value).

Kami berikan contoh:

Sekiranya kereta baharu Myvi bernilai RM45,000.

Nilai Yang Dipersetujui (Agreed Value)

Pada tahun ke-2, pemilik telah memilih untuk renew perlindungan insurans / takaful mengikut Nilai Yang Dipersetujui (Agreed Value) iaitu RM42,000.

Jadi, untuk kes kemalangan seperti ini, pemilik Myvi boleh menuntut sehingga RM42,000*.

Nilai Pasaran (Market Value)

Berlainan jika pemilik memilih untuk renew perlindungan insurans / takaful kereta Myvi mengikut Nilai Pasaran (Market Value) yang juga sama iaitu RM42,000.

Tetapi ketika kemalangan berlaku, nilai pasaran untuk sebuah Myvi adalah RM40,000. 

Jadi, pemilik Myvi tersebut hanya boleh menuntut sehingga RM40,000*.

*Tertakluk terma dan syarat lanjut oleh syarikat insurans / pengendali takaful.

Dalam apa jua situasi, kami berharap agar anda sentiasa mengutamakan keselamatan diri, penumpang dan pemandu lain di sekitar anda.


Maklumat yang terdapat di dalam blog ini disediakan untuk tujuan makluman sahaja, dan tidak boleh ditafsirkan sebagai nasihat mengenai apa jua perkara. Etiqa tidak bertanggung jawab atas kerugian yang mungkin timbul disebabkan maklumat yang terdapat dalam penulisan ini. Maklumat ini sah dan tepat pada tarikh ia diterbitkan, 1 Mac 2021.